Kanak-kanak memerlukan jumlah tidur yang berbeza mengikut umur mereka dan disarankan agar anda mengikut panduan yang diberi di bawah untuk memastikan anak anda mendapat rehat yang secukupnya:
0-1 bulan: jumlah masa tidur (setiap hari) = 15-16 jam
Bayi baru lahir lazimnya tidur selama 2-4 jam terus menerus bagi jumlah 15-18 jam sehari. Pada peringkat ini anda boleh menjangka corak tidur anda sendiri akan terganggu apabila corak tidur bayi baru lahir anda tidak mengikut kitaran siang/malam seperti biasa.
1-4 bulan: jumlah masa tidur (setiap hari) = 14-15 jam
Sekitar umur 6 minggu, bayi anda akan mula membentuk corak tidur yang lebih tetap. Dia mungkin tidur di antara 4-6 jam dan lebih lama pada sebelah malam.
4-12 bulan: jumlah masa tidur (setiap hari) = 14-15 jam
Ketika ini, anda harus cuba membentuk tabiat tidur yang sihat bagi anak anda. Biasanya dia akan tidur sekejap 3 kali pada waktu siang, dan berkurangan menjadi dua kali apabila berumur 6 bulan. Masa tidur siang hendaklah selama satu atau dua jam dan bayi anda boleh tidur pada sebelah pagi (sekitar 9.00 pagi), tengah hari (sekitar 2.00 petang), dan petang (di antara 3-5 petang). Menjelang umur 6 bulan, bayi anda harus tidur terus menerus pada sebelah malam.
1-3 tahun : jumlah masa tidur (setiap hari) = 12-14 jam
Masa tidur tengah hari boleh dikurangkan menjadi 1-3½ jam. Bayi anda hendaklah tidur pada pukul 9 malam dan bangun pagi di antara pukul 6-8 pagi.
3-6 tahun: jumlah masa tidur (setiap hari) = 10-12 jam
Bergantung kepada anak anda, tidur siang mungkin tidak diperlukan. Sekiranya dia masih mahu/perlu tidur siang, biarkan dia tidur sekejap sahaja. Kekalkan waktu tidur malam/bangun pagi yang sama.
7-12 tahun: jumlah masa tidur (setiap hari) = 10-11 jam
Pada peringkat ini, pastikan anak anda tidur pada 9 malam, agar dia mendapat tidur secukupnya.
12-18 tahun: jumlah masa tidur (setiap hari) = 8-9 jam
Seperti kanak-kanak kecil, tidur juga adalah penting bagi remaja. Pastikan anak remaja anda tidur sekurangkurangnya 8-9 jam sehari untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraannya tidak terganggu.
Jangan abaikan tidurnya
Sebagai ibu bapa anda perlu sedar bahawa anak anda perlu tidur. Sekiranya anda mempunyai anak kecil, membantunya membentuk tabiat tidur yang baik adalah agak mencabar pada peringkat permulaan. Namun begitu, anda akan berpuas hati kerana meluangkan masa melakukan perkara yang betul memandangkan manfaat tidur akan terus dibawa ke alam dewasa. Kepentingan tidur yang mencukupi tidak harus diambil ringan.